nul hipotesis

comment buku

Wednesday, February 18, 2009

Islam menggalakkan - Sesuaikan fitrah semula jadinya




``MEMELIHARA haiwan adalah digalakkan di dalam Islam tetapi menyeksa dan melakukan penderaan terhadapnya adalah dilarang di sisi agama,'' ujar Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Saimah Mukhtar.

Beliau menjelaskan, daripada konteks pemeliharaan haiwan seperti kucing, ia amat digalakkan di dalam Islam terutama sekali kucing-kucing yang terbiar dan hidup merempat di tepi-tepi jalan.

Ajaran Islam menggalakkan pemeliharaan haiwan bergantung kepada fitrah semulajadinya, seperti burung yang sifatnya terbang bebas berbanding dengan kucing yang memang untuk dipelihara, dimanja dan dibelai.

Menurut Saimah, membela burung di dalam sangkar tidak digalakkan di dalam Islam kerana ia bertentangan dengan fitrahnya yang terbang bebas. Bagaimanapun ada juga sesetengah burung yang fitrahnya memang untuk dipelihara.

Ia boleh dilihat melalui Surah An-Nahl ayat 79:

Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (daripada jatuh) melainkan Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

Beliau menjelaskan, Allah memberikan ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang memelihara haiwan, terutama kucing bukan sahaja di akhirat malah di dunia.

``Kak Nor dan keluarganya telah melakukan kebaikan dengan memberi tempat perlindungan dan kehidupan kepada haiwan peliharaannya. Begitu juga dengan anak-anaknya yang sangat menyayangi kucing-kucing mereka bagaikan saudara kandung sendiri,'' kata beliau merujuk kepada keluarga Kak Nor yang memelihara 10 ekor kucing di rumahnya.

Selain memberikan ganjaran syurga kepada orang yang menyayangi haiwan, Allah juga mengurniakan nikmat ketenangan dan kepuasan dalam hidup.

``Seperti Kak Nor yang merasa tenang apabila melihat kucing-

kucing bergolek dan berkejar-kejaran di taman. Memang, perasaan kita rasa terhibur. Sebenarnya, itulah nikmat kepuasan yang Allah berikan kepada umatnya yang mempunyai haiwan peliharaan,'' ujarnya.

Beliau menceritakan pada zaman Rasulullah s.a.w., seekor kucing tertidur di atas serban baginda tetapi baginda tidak mengangkat kucing tersebut kerana ia sedang tidur. Ini menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Rasulullah kepada binatang.

Baik

Sebuah lagi kisah yang boleh dijadikan panduan dan pedoman kepada masyarakat agar berbuat baik kepada haiwan dan binatang walaupun seekor anjing.

``Seorang wanita yang kuat beribadat kepada Allah tetapi suka menyeksa kucing. Akhirnya, wanita tersebut dimasukkan ke neraka.

``Berbeza pula dengan kisah seorang pelacur yang membantu seekor anjing yang tercungap-

cungap hampir mati dengan memberinya air minuman.

``Walaupun wanita tersebut melakukan maksiat dan tidak beribadat kepada Allah, dia tetap masuk syurga kerana Allah mengambil kira kemurnian hati dan kebaikan yang dilakukan,'' cerita beliau mengenai kisah-kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w.

Jika dilihat betapa kasihnya Allah kepada binatang, haiwan ternakan yang akan disembelih hendaklah menggunakan senjata tajam supaya ia cepat mati dan tidak menyeksanya.

Begitu juga, Islam mengharuskan agar binatang yang memudaratkan seperti ular dan lipan, dibunuh berbanding menderanya hingga mati.

``Sebagai contoh, perbuatan menyabung ayam juga dilarang di dalam Islam kerana ia mempunyai unsur penyeksaan selain melibatkan permainan judi,'' terang beliau mengenai konsep ajaran Islam.

Walaupun terdapat polemik yang menyatakan, proses mengasi kucing bertentangan dengan fitrahnya untuk mengawan dan membiak, namun diharuskan sekiranya ia boleh mendatangkan keburukan kepada manusia, seperti penyakit berjangkit.

Bagi membuktikan haiwan mempunyai hak di atas muka bumi ini, telah diceritakan pelbagai kisah di dalam al-Quran yang boleh memberikan kebaikan kepada manusia.

Surah al-Naml misalnya, menceritakan kisah raja semut yang memerintahkan rakyatnya agar masuk ke sarang masing-masing supaya tidak terpijak oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tenteranya yang akan lalu di tempat itu.

Nikmat

Nabi Sulaiman a.s. yang mendengar perintah tersebut mengucapkan syukur kepada Tuhan yang Maha Kuasa kerana telah melimpahkan nikmat kepadanya berupa kerajaan, kekayaan, memahami ucapan-ucapan binatang dan mempunyai bala tentera yang terdiri daripada manusia, jin, burung dan sebagainya.

Allah menyebut semut dalam surah ini kerana teraturnya kehidupan semut yang hidup berkelompok di dalam tanah, membuat liang dan ruang bertingkat-tingkat yang dijadikan sebagai rumah dan gudang menyimpan makanan musim dingin.

Berdasarkan kepada kisah ini, secara tidak langsung Allah mengingatkan kepada manusia agar berusaha mencari keperluan sendiri dengan mencontohi kehidupan semut yang rajin bekerja.

Beliau menjelaskan, ciptaan Allah meliputi pelbagai aspek dan saling melengkapi antara satu sama lain. Manusia diciptakan sempurna sama ada dari segi akal dan anggota badan. Tetapi ini tidak bermakna haiwan yang juga merupakan makhluk ciptaan Allah tidak mempunyai perasaan dan boleh dipermainkan sesuka hati.

Menyepak

``Saya sedih kadang-kadang bila melihat kanak-kanak kecil sanggup menyepak seekor anak kucing tanpa belas kasihan. Itu baru seorang budak kecil, apakah yang akan berlaku sekiranya orang dewasa juga mempunyai kelakuan sedemikian?'' katanya kesal dengan sikap dan mentaliti sebahagian masyarakat yang menganggap haiwan tidak mempunyai hak untuk hidup seperti makhluk lain.

Menurut beliau, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik anak-anak menyayangi haiwan terutama kucing dan melarang mereka melakukan penyeksaan sama ada dengan memijak, memukul ataupun membalingnya sesuka hati.

``Sebagai ibu bapa, kita perlu terangkan kepada anak-anak, mengapa kucing tidak boleh diseksa dan dipijak macam barang mainan.

``Kita juga perlu tanamkan sifat kasih sayang terhadap haiwan seperti mana yang dilakukan oleh Kak Nor dan suaminya. Mereka sekeluarga mempunyai hobi yang sama dan dalam masa yang sama mengajar anak-anaknya agar bersifat pengasih kepada haiwan,'' tegasnya.

Beliau juga menerangkan, selain menggalakkan pemeliharaan haiwan dan sifat kasih sayang, Islam juga amat menekankan aspek kebersihan yang menjadi tunjang kepada ajaran agama.

copyright from- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

No comments:

Related Posts with Thumbnails