nul hipotesis

comment buku

Wednesday, February 18, 2009

Islam menggalakkan - Sesuaikan fitrah semula jadinya




``MEMELIHARA haiwan adalah digalakkan di dalam Islam tetapi menyeksa dan melakukan penderaan terhadapnya adalah dilarang di sisi agama,'' ujar Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Saimah Mukhtar.

Beliau menjelaskan, daripada konteks pemeliharaan haiwan seperti kucing, ia amat digalakkan di dalam Islam terutama sekali kucing-kucing yang terbiar dan hidup merempat di tepi-tepi jalan.

Ajaran Islam menggalakkan pemeliharaan haiwan bergantung kepada fitrah semulajadinya, seperti burung yang sifatnya terbang bebas berbanding dengan kucing yang memang untuk dipelihara, dimanja dan dibelai.

Menurut Saimah, membela burung di dalam sangkar tidak digalakkan di dalam Islam kerana ia bertentangan dengan fitrahnya yang terbang bebas. Bagaimanapun ada juga sesetengah burung yang fitrahnya memang untuk dipelihara.

Ia boleh dilihat melalui Surah An-Nahl ayat 79:

Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (daripada jatuh) melainkan Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

Beliau menjelaskan, Allah memberikan ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang memelihara haiwan, terutama kucing bukan sahaja di akhirat malah di dunia.

``Kak Nor dan keluarganya telah melakukan kebaikan dengan memberi tempat perlindungan dan kehidupan kepada haiwan peliharaannya. Begitu juga dengan anak-anaknya yang sangat menyayangi kucing-kucing mereka bagaikan saudara kandung sendiri,'' kata beliau merujuk kepada keluarga Kak Nor yang memelihara 10 ekor kucing di rumahnya.

Selain memberikan ganjaran syurga kepada orang yang menyayangi haiwan, Allah juga mengurniakan nikmat ketenangan dan kepuasan dalam hidup.

``Seperti Kak Nor yang merasa tenang apabila melihat kucing-

kucing bergolek dan berkejar-kejaran di taman. Memang, perasaan kita rasa terhibur. Sebenarnya, itulah nikmat kepuasan yang Allah berikan kepada umatnya yang mempunyai haiwan peliharaan,'' ujarnya.

Beliau menceritakan pada zaman Rasulullah s.a.w., seekor kucing tertidur di atas serban baginda tetapi baginda tidak mengangkat kucing tersebut kerana ia sedang tidur. Ini menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Rasulullah kepada binatang.

Baik

Sebuah lagi kisah yang boleh dijadikan panduan dan pedoman kepada masyarakat agar berbuat baik kepada haiwan dan binatang walaupun seekor anjing.

``Seorang wanita yang kuat beribadat kepada Allah tetapi suka menyeksa kucing. Akhirnya, wanita tersebut dimasukkan ke neraka.

``Berbeza pula dengan kisah seorang pelacur yang membantu seekor anjing yang tercungap-

cungap hampir mati dengan memberinya air minuman.

``Walaupun wanita tersebut melakukan maksiat dan tidak beribadat kepada Allah, dia tetap masuk syurga kerana Allah mengambil kira kemurnian hati dan kebaikan yang dilakukan,'' cerita beliau mengenai kisah-kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w.

Jika dilihat betapa kasihnya Allah kepada binatang, haiwan ternakan yang akan disembelih hendaklah menggunakan senjata tajam supaya ia cepat mati dan tidak menyeksanya.

Begitu juga, Islam mengharuskan agar binatang yang memudaratkan seperti ular dan lipan, dibunuh berbanding menderanya hingga mati.

``Sebagai contoh, perbuatan menyabung ayam juga dilarang di dalam Islam kerana ia mempunyai unsur penyeksaan selain melibatkan permainan judi,'' terang beliau mengenai konsep ajaran Islam.

Walaupun terdapat polemik yang menyatakan, proses mengasi kucing bertentangan dengan fitrahnya untuk mengawan dan membiak, namun diharuskan sekiranya ia boleh mendatangkan keburukan kepada manusia, seperti penyakit berjangkit.

Bagi membuktikan haiwan mempunyai hak di atas muka bumi ini, telah diceritakan pelbagai kisah di dalam al-Quran yang boleh memberikan kebaikan kepada manusia.

Surah al-Naml misalnya, menceritakan kisah raja semut yang memerintahkan rakyatnya agar masuk ke sarang masing-masing supaya tidak terpijak oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tenteranya yang akan lalu di tempat itu.

Nikmat

Nabi Sulaiman a.s. yang mendengar perintah tersebut mengucapkan syukur kepada Tuhan yang Maha Kuasa kerana telah melimpahkan nikmat kepadanya berupa kerajaan, kekayaan, memahami ucapan-ucapan binatang dan mempunyai bala tentera yang terdiri daripada manusia, jin, burung dan sebagainya.

Allah menyebut semut dalam surah ini kerana teraturnya kehidupan semut yang hidup berkelompok di dalam tanah, membuat liang dan ruang bertingkat-tingkat yang dijadikan sebagai rumah dan gudang menyimpan makanan musim dingin.

Berdasarkan kepada kisah ini, secara tidak langsung Allah mengingatkan kepada manusia agar berusaha mencari keperluan sendiri dengan mencontohi kehidupan semut yang rajin bekerja.

Beliau menjelaskan, ciptaan Allah meliputi pelbagai aspek dan saling melengkapi antara satu sama lain. Manusia diciptakan sempurna sama ada dari segi akal dan anggota badan. Tetapi ini tidak bermakna haiwan yang juga merupakan makhluk ciptaan Allah tidak mempunyai perasaan dan boleh dipermainkan sesuka hati.

Menyepak

``Saya sedih kadang-kadang bila melihat kanak-kanak kecil sanggup menyepak seekor anak kucing tanpa belas kasihan. Itu baru seorang budak kecil, apakah yang akan berlaku sekiranya orang dewasa juga mempunyai kelakuan sedemikian?'' katanya kesal dengan sikap dan mentaliti sebahagian masyarakat yang menganggap haiwan tidak mempunyai hak untuk hidup seperti makhluk lain.

Menurut beliau, ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik anak-anak menyayangi haiwan terutama kucing dan melarang mereka melakukan penyeksaan sama ada dengan memijak, memukul ataupun membalingnya sesuka hati.

``Sebagai ibu bapa, kita perlu terangkan kepada anak-anak, mengapa kucing tidak boleh diseksa dan dipijak macam barang mainan.

``Kita juga perlu tanamkan sifat kasih sayang terhadap haiwan seperti mana yang dilakukan oleh Kak Nor dan suaminya. Mereka sekeluarga mempunyai hobi yang sama dan dalam masa yang sama mengajar anak-anaknya agar bersifat pengasih kepada haiwan,'' tegasnya.

Beliau juga menerangkan, selain menggalakkan pemeliharaan haiwan dan sifat kasih sayang, Islam juga amat menekankan aspek kebersihan yang menjadi tunjang kepada ajaran agama.

copyright from- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Tuesday, February 17, 2009

Kisah Dari Tanah Suci: Berkat sayang, muliakan kucing


Kisah Dari Tanah Suci ini untuk iktibar bersama. Kisah ini mengenai seorang wanita Muslimah Melayu berasal dari Perak yang menunaikan haji.

Wanita ini kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.

Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur. Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja.

Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.

Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.

Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius. Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap.

Maka terkenallah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang mati dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu.

Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.

Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah terkabul sudah.

Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya dimakbulkan.

Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.

Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci Makkah.

Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni.

Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti orang muda.

Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya. Tertunailah hajat yang terbuku di hatinya selama ini, berkat menolong seekor kucing di Makkah yang mulia itu..

Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan menziarahi Masjid Nabawi, hajah yang solihah tadi berserta rombongannya bersiaplah untuk pulang ke Malaysia.

Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di Jeddah, Muslimah tua tadi terlopong melihat seekor kucing yang mirip kucing yang ditolongnya sewaktu di Makkah dulu.

Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat itu sambil matanya merenung sayu padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke anak tangga teratas, kucing tadi ghaiblah daripada pandangannya.

Demikianlah ganjaran dan berkat orang yang mengasihi kucing, seperti Nabi kita s.a.w. mengasihinya di dunia ini, lebih-lebih besarlah pahala menunggunya di alam akhirat nanti. Amin

dipetik dari - http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=11377&Itemid=91

SaYanGi KuCinG


Dalam suatu peristiwa, tatkala seorang sahabat nabi bernama Abdul Rahman bin Sakhr menemui seekor anak kucing yang sedang mengiau kerana kehilangan ibunya. Beliau yang dalam perjalanannya menuju ke Masjid Nabawi, berasa kasihan kepada anak kucing itu, lalu mengambil dan meletaknya dalam baju besar beliau.

Apabila sampainya di masjid, baginda bertanya Abdul Rahman, apa dalam bajunya? Ia menjawab anak kucing yang kehilangan ibu, aku mengambilnya kerana kasihan padanya. Lalu baginda menggelarkan Abdul Rahman dengan Abu Hurairah (bapa kucing kecil).

Gelaran bapa kucing tidak sedikit pun menjejaskan maruah dan reputasi Abdul Rahman, malah inilah gelaran yang paling disukai tatkala namanya disebut, kerana nabi sendiri yang memberi gelaran itu. Selain itu juga, gelaran Abu Hurairah mengingatkan beliau kepada suatu amal soleh yang pernah dilakukannya menerusi pembelaan seekor anak kucing.

Dan Abu Hurairah ialah seorang penghafal hadith2 nabi yang terbanyak dan dia telah dikenali juga sebagai GUDANG ILMU. Dia adalah sahabat yang paling suka bergaul dengan Rasulullah S.a.w. Dia tidakmempunyai tanah dan perniagaan dan seorang yang miskin harta tetapi kaya jiwa, maka masanya paling banyak diluangkan dengan nabi. Dengan kerana itu juga dia telah mempunyai banyak peluang meriwayatkan hadith2 nabi.

Banyak hikmah dari riwayat hidup Abu Hurairah ini dan antaranya beliau telah mencontohi kepada kita betapa bagusnya dan satu amalan yang sangat disukai oleh nabi sendiri iaitu berbuat baik kepada kucing. Renung2 kan lah di situ dalam2.

Antara adab terhadap binatang iaitu memberi mereka makan dan minum. Ianya termasuk dalam kategori amal soleh dan mendapat pahala insyaAllah.

“Pada setiap yang mempunyai hati yang basah (haiwan) terdapat pahala (dalam berbuat baik kepadanya).” Hadith Riwayat Bukhari, Ahmad dan Ibnu Majah.

“Kasihanilah siapa saja yang ada di bumi ini, nescaya kalian akan dikasihani oleh yang ada di langit.” Hadith Riwayat Tirmidzi, Ath-Thabrani dan Al Hakim.

“Siapa yang tidak menyayangi, ia tidak akan disayangi.” Muttafaqun ‘Alaih.

Sama-samalah kita mengelakkan diri dari menyeksa binatang, lebih-lebih lagi menyeksakan mereka dengan api. Sesungguhnya tidak ada yang berhak menyiksa dengan api selain Rabb (Tuhan) pemilik api.” Hadith Riwayat Abu Dawud, hadits shahih.

Jangan juga jadikan burung, atau apa sahaja binatang sebagai sasaran kita untuk memanah atau menembak untuk suka-suka. Selain tujuan untuk berburu untuk mendapatkan makanan. “Allah mengutuk orang yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran.” Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad.


Related Posts with Thumbnails